RASA pedas menyengat ditambah aroma ayam yang diperap dengan rempah istimewa pasti membuka deria rasa penggemar masakan pedas.

Itu keistimewaan hidangan ayam gepuk yang dibawakan anak muda berusia 27 tahun ini malah lebih menarik, tahap kepedasan yang boleh ditentukan sendiri pelanggan.

Percubaan berani Mohd Firdaus Abd Wahid terjun dalam industri makanan tanpa sebarang pengalaman seharusnya menjadi inspirasi buat anak muda di luar sana.

Mana tidaknya, hanya dalam tempoh setahun dalam bidang itu, pembukaan cawangan restoran Ayam Gepuk Pak Gembus miliknya yang keenam di sekitar Lembah Klang membuktikan tiada kejayaan tanpa usaha, keringat dan sikap tidak berputus asa.

Katanya, idea untuk membuka cawangan Ayam Gepuk Pak Gembus ke Malaysia tercetus ketika dia bersama beberapa rakannya bercuti di Jogjakarta, Indonesia tahun lalu.

“Ketika bercuti saya cuba sendiri makanan ini yang terkenal di negara seberang itu. Selepas mencuba saya terus terpikat dengan keenakan rasa asli dan terfikir untuk membawanya ke Malaysia.

“Ayam gepuk pertama kali diperkenalkan pengusahanya, Pak Rido di Jogjakarta sejak lima tahun lalu dan ia masakan asli yang kini ada 750 cawangan di Indonesia sendiri.

“Saya terfikir, di Malaysia belum ada lagi makanan seumpama ini diperkenalkan, berbanding makanan Indonesia yang popular di negara ini seperti ayam penyet,” katanya.

Berpengalaman bertugas dalam bidang pengurusan di pusat kecergasan, Mohd Firdaus juga terbabit sebagai jurulatih kecergasan peribadi di pusat yang sama.

Bekas atlet lumba mountain bike ini berkata, dia sekalipun tidak pernah terfikir untuk terjun dalam bidang perniagaan makanan namun mengakui ada menanam impian untuk mempunyai perniagaan sendiri satu hari nanti.

Bermula dari bawah dan modal kecil, Mohd Firdaus pada awalnya menyewa gerai kecil di Jalan Gombak dan memberanikan diri membawa menu dari Jogjakarta itu di sini.

Katanya, dia sama sekali tidak menyangka sambutan yang diterima begitu memberangsangkan malah tidak menang tangan dengan permintaan pelanggan setiap hari.

Baginya, ia satu pengalaman cukup getir tapi menyeronokkan malah dengan tiada sekelumit pengalaman dalam bidang itu.

Landskap kehidupannya turut berubah, jika dulu dia memandang ringan banyak perkara, kini berubah menjadi manusia yang belajar menghargai setiap perkara kecil dan bersyukur dengan setiap nikmat diberi.

“Tahun pertama memang tidak merasa ‘nikmat’ keuntungan kerana digunakan sepenuhnya untuk mengembangkan kedai malah saya akui tidak sesekali merasa selesa dengan pencapaian ini.

“Sebaliknya saya berusaha keras tanpa mengenal lelah, dari menguruskan kedai dan pada sebelah malam pula bekerja sampingan untuk menambah pendapatan.

“Saya masih ingat, awal-awal membuka kedai ini segalanya dilakukan sendiri, daripada membeli barang mentah hingga uruskan kedai menggunakan kereta sendiri.

“Melihat potensi yang meyakinkan, saya memberanikan diri membuka cawangan lain dan dari situ nama kedai saya mula dikenali,” katanya.

Anak kedua daripada empat adik-beradik itu juga mengakui sokongan keluarga dan doa ibunya adalah pendorong utama untuk dia terus berusaha keras menaikkan perniagaannya.

Malah dia turut terharu kerana ibunya langsung tidak membantah apabila dia menyuarakan hasrat untuk memulakan perniagaan kedai makan.

“Jika diikutkan, memanglah mana-mana ibu bapa pun menganggap kerja makan gaji lebih terjamin, apatah lagi jika pendapatan yang diterima lumayan. Tapi keluarga saya beri sokongan penuh ketika saya ambil keputusan berniaga,” katanya.

Kini, katanya dia turut menawarkan sistem francais menerusi dua cawangannya di Shah Alam dan Sunway Mentari, Selangor.

Katanya, sesuai dengan tagline ‘tentukan sendiri kepedasanmu,’ pengunjung boleh memilih sendiri tahap kepedasan yang diinginkan sama ada tahap lima, 10 atau 15.

Bagaimanapun katanya, bagi yang pertama kali hendak cuba ayam gepuk ini, dia akan menyarankan supaya pelanggannya mula dengan tahap 5 terlebih dulu.

“Tetapi kalau mereka rasa mahu pedas lagi, boleh tambah kemudian. Istimewanya di sini, sambal itu akan disediakan selepas pelanggan memilih tahap kepedasan yang dimahukan,” katanya.

Menurut Mohd Firdaus, hidangan ayam gepuk memiliki persamaan dengan ayam penyet kerana ia dihidangkan bersama sambal, tauhu dan tempe goreng namun yang membezakannya tentu sekali rasa ayam serta sambal.

Rasa sambal hidangan ini berbeza dengan keenakan tersendiri malah ramuan yang digunakan untuk perapan ayam juga tidak sama.

Publication: Metro

Language: Bahasa Melayu

Source:
https://www.hmetro.com.my/hati/2018/12/405992/aroma-ayam-gepuk

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × five =